Kembali ke Media
YB Sarifuddin Hata: Kerajaan Warisan Tidak Pernah Menyerahkan Hak Sabah
2026-07-02
Kenyataan Media
KENYATAAN MEDIA
02 Julai 2026
02 Julai 2026
- Laporan yang mendakwa Kerajaan Warisan telah "bersetuju menerima kadar Pemberian Khas yang lebih rendah" hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar.
- Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam rundingan ketika itu selaku Pembantu Menteri Kewangan Sabah, saya bertanggungjawab menjelaskan fakta yang sebenar.
- Apabila Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, Sabah hanya menerima Pemberian Khas sebanyak RM26.7 juta, suatu kadar yang tidak berubah sejak 1968 walaupun hak Sabah dijamin di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
- Kerajaan Warisan memilih untuk tidak berdiam diri. Kami memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyemak kadar tersebut dan mendapatkan penyelesaian yang lebih adil untuk Sabah.
- Cadangan peningkatan kepada RM53.4 juta adalah sebahagian daripada proses rundingan itu. Ia bukan penyelesaian muktamad dan bukan penamatan tuntutan Sabah. Rundingan masih berjalan dan matlamat kami ketika itu adalah untuk mendapatkan formula yang benar-benar mencerminkan hak perlembagaan Sabah.
- Malangnya, rundingan tersebut tidak sempat dimuktamadkan apabila Kerajaan Persekutuan bertukar susulan Langkah Sheraton. Selepas itu negara berdepan pandemik COVID-19 dan tidak lama kemudian Kerajaan Warisan pula dijatuhkan. Proses rundingan yang sedang berjalan akhirnya terhenti.
- Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa Warisan telah menyerahkan hak Sabah. Hakikatnya, Warisan ialah kerajaan yang memulakan semula rundingan setelah Sabah sekian lama hanya menerima RM26.7 juta.
- Lebih menarik, selepas Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan bahawa semakan Pemberian Khas perlu dilaksanakan mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, keputusan tersebut pula telah dirayu. Maka persoalan yang lebih penting untuk dijawab hari ini ialah, bilakah hak perlembagaan Sabah akan benar-benar dilaksanakan?
- Rakyat Sabah tidak seharusnya dikelirukan dengan naratif yang hanya memilih sebahagian fakta tetapi mengabaikan keseluruhan konteks.
- Perjuangan Warisan tidak pernah terhenti pada angka RM53.4 juta. Matlamat kami sejak dahulu hingga hari ini tetap sama, untuk memastikan Sabah menerima haknya sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
TAMAT
YB SARIFUDDIN HATA ADUN MEROTAI
(Mantan Pembantu Menteri Kewangan)
(Mantan Pembantu Menteri Kewangan)